Sayembara Rindu Buat Isteriku






Salam Rindu Kutitipkan Buat Isteriku
Andai Kelmarin Mengecewakan
Andai Semalam Melukakan
Andai Hari Ini Belum membahagiakan
Andai Esok Masih Terasa
Andai Terguris Hati Dan Perasaan
Andai Tercalar Dalam Perjalanan
Andai Luka Masih Berparutan
Andai Kebahagian Masih Belum Bertandang
Tiada Daya Insan Ini Mengelak Dari Kesilapan
Demi Kesilapan
Dalam Meniti Arus Kehidupan
Dalam Membina Mahligai Impian
Dalam Mencari Erti Kebahagian

Andai Ada Bicara Yang Mampu Menceriakan
Andai Ada Senyuman Yang Mampu Menggembirakan
Andai Ada Dakapan Yang Mampu Menenangkan
Andai Ada Kucupan Yang Bisa Menyemarakkan
Cinta Kita Agar Terus Menyala
Bersinar Dan Bergemerlapan
Sehingga Terpadam Dek Masa
Dalam Ketentuan Yang Maha Bijaksana

Yang Mentakdirkan kita
Sebuah Jodoh
Sebuah Pertemuan
Sebuah Ikatan
dengan Cinta MilikNya
Yang Dipinjamkan Pada Kita
Yang Diamanahkan Untuk Dibajai Bersama
Moga Mekar Dan Merimbun
Untuk Diteduhi Oleh Zuriat Keturunan Kita

Teguh dan Kukuh bersama tempuhi ranjau
Sabar dan Tabah bersama hadapi segalanya
selagi usia masih berbaki
selagi nafas masih dihela
Selagi cinta belum terhenti
Janganlah kita berputus Asa
atau mengalah dan terus rebah
dengan ujian yang sememangnya di rencanakan untuk kita
oleh Pemilik segala Cinta

Cinta Milik Ilahi
Yang Pertama Dan Yang Terakhir
Yang Kekal dan Abadi
Sedang Kita Berada Seketika
Cukup Seketika Dan Amat Singkat Sekali
Dalam Detik Yang Sesingkat Ini
Kita Dipertemukan
Kita Dijodohkan Dengan Sebuah Ikatan
Dan Dikurniakan Cahaya Mata tuk menghiasi kehidupan
Betapa Aku mensyukuri segala nikmatNya

Berdoalah kita kepadaNya
Moga ikatan ini tersimpul mati
Moga Kasih Yang Maha Pengasih Mengiringi Kita
Moga Sayang Yang Maha Penyayang Menyatukan Kita
Moga Cinta Yang Maha Mencintai Merestui Kita
Moga Kehidupan Kita dan Zuriat Kita Dilimpahi Rahmat Dan HidayahNya

Ikhlas dari
Suami, kekasih dan Sahabatmu

Comments

Popular Posts